12 March 2009

Sambutan Maulidur Rasul 1430H Puncak Alam


Sambutan Maulidurrasul
Program seumpama ini adalah yang julung-julung kali diadakan di peringkat kawasan Puncak Alam yang melibatkan surau-surau, KAFA, dan tadika di Puncak Alam. Sokongan yang positif dari pihak yang dijemput terutama dari Fasa 3 adalah sangat menggalakkan.

Antara objektif utama yang ingin dicapai dari program sebegini selain meningkatkan kesedaran dan kesyukuran terhadap sumbangan yang diberikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ia dalah juga sebagai "channel' bagi meningkatkan ukhuwwah di kalangan qariah-qariah yang ada di sekitar Puncak Alam.

Fokus pengisian, selain dari ceramah agama yang dilangsungkan selepas solat Suboh dan ditutup dengan sebuah lagi ceramah pada sebelah malamnya, adalah melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak. Ini adalah salah satu kaedah yang dirasakan dapat menarik lebih ramai dari golongan ini untuk mendekati surau ataupun masjid.

Sambutan MaulidurrasulBerbalik kepada program pengisian, selepas selesai kuliah Suboh, acara pembukaan adalah merupakan acara perarakan yang mana penyertaan adalah bagi surau-surau yang terdapat di seluruh Puncak Alam. Di antara yang mengambil bahagian adalah Surau Al-Furqan sebagai tuan rumah, Surau Hj Ismail Fasa 3, Surau Al-Falah Fasa 3, dan Surau Nur-Hijrah Fasa 3. Perarakan itu juga disertai oleh KAFA Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3. Walaupun peserta diuji dengan hujan renyai-renyai sepanjang pagi, namum mereka bertekad untuk terus melakukan perarakan seperti yang telah dirancang.

Jarak perarakan dianggarkan sekitar satu kilometer lebih bermula dari padang rekreasi Zon GAPi menuju ke jalan utama dan bergerak ke Lorong Naluri Sukma 8/1 sebelum melencong masuk melintasi di hadapan surau menuju ke kawasan lapang disebelah dewan orangramai Fasa 2.

Selepas berehat sejenak sambil menjamu hidangan pagi, upacara pembukaan oleh Pengerusi Surau Al furqan di-langsungkan secara ringkas sebelum acara pertandingan bermula. Antara acara yang dijalankan adalah seperti berikut:
1) Pertandingan azan (lelaki) peringkat sekolah rendah dan menengah.
2) Pertandingan hafazan (perempuan) peringkat sekolah rendah dan menengah
3) Pertandingan bercerita peringkat tadika
4) Pertandingan Nasyid peringkat KAFA
Sambutan MaulidurrasulAcara-acara yang dipertandingkan telah dihakimi oleh juri atau hakim undangan dari luar (berkecuali). Acara terakhir adalah acara nasyid yang melibatkan penyertaan dari tiga KAFA. YB Dzulifli Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor telah tiba untuk menyaksikan acara ini sebelum beliau menyampaikan ucapan amanat Maulidur Rasul dan merasmikan program pada hari itu. Kemudian beliau telah sudi menyampaikan hadiah kepada para peserta yang memenangi acara masing-masing. Program pada pagi dan tengahari diakhiri dengan jamuan makan sebelum disambung semula untuk program ceramah pada sebelah malamnya.

Selain dari pengajuran acara-acara yang dipertandingkan, pihak komiti juga bertungkus lumus malakukan persediaan stage dan juga dari segi jamuan. Bagi menampung sajian pada hari tersebut, seekor lembu yang agak besar telah dijadikan sebagai aqiqah untuk menjamu para tetamu. Pihak pengurusan makanan telah mengerah tenaga dan bersengkang mata untuk memastikan para tetamu dapat dijamu dengan sebaiknya. Tahniah diucapkan kepada AJK dan sukarelawan yang terlibat.

YB Dr Dzulkifli Ahmad menyampaikan amanat dan merasmikan program.

Secara keseluruhannya, program perintis ini membuahkan hasil yang diharapkan iaitu penyertaan dari surau-surau dari Puncak Alam walaupun sebahagian surau tidak dapat menyertainya kerana menjalankan aktiviti masing-masing. Penglibatan golongan remaja dan kanak-kanak juga sangat memberangsangkan dan ini diharap agar berterusan sehingga setiap mereka menjadi tetamu tetap surau di kawasan masing-masing

0 comments: